Tuesday, August 2, 2011

Klik2 hari ini-02/08/2011

Buta akibat bisul lambat dirawat


MATA kanan Nur Natashah buta akibat bisul.


GOMBAK – Seorang kanak-kanak, Putri Nur Natashah Mirsha Muhammad Amin, 6, yang pada mulanya hanya didakwa mengalami bengkak akibat gigitan nyamuk mengalami nasib malang apabila mata kanannya kini buta.

Ibu kanak-kanak itu, Nurul Huda Ahmad, 28, berkata, keadaan bengkak pada mata Nur Natashah pada mulanya dikesan ketika dia berusia dua tahun tiga bulan iaitu pada tahun 2008.

Selepas bengkak tersebut semakin membesar, anaknya dibawa ke Hospital Selayang pada 12 Mac 2008 untuk menjalani rawatan namun, Bahagian Kecemasan di hospital tersebut memberitahu, bengkak yang berlaku berpunca daripada kesan gigitan nyamuk.

“Mereka kata tiada apa yang harus dirisaukan walaupun ketika itu anak saya meronta-ronta kesakitan,” ujarnya kepada Kosmo! di rumahnya di Selayang Baru di sini semalam.

Bagaimanapun, pada petang hari yang sama, Nurul Huda datang semula ke Hospital Selayang membawa anaknya kesakitan tetapi dia masih dimaklumkan perkara yang sama.

“Tidak puas hati dengan alasan gigitan nyamuk yang diberi doktor di Hospital Selayang saya kemudian membawa anak saya ke sebuah klinik di Selayang dua hari kemudian dan doktor di klinik itu mengesahkan bahawa ia bisul dan memberi surat rujukan ke Hospital Selayang untuk membuat pembedahan membuang nanah,” ujarnya.

Menurut Nurul Huda, ketika itu, mata anaknya sudah tersembul keluar dan keadaan di sekeliling matanya juga membengkak.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

'Kami dilayan macam banduan'


Nasirruddin Yazid
MOHD. RAFSANJANI (depan) bersama pelajar lain menunjukkan kepala mereka yang dibotakkan ketika ditemui di Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - Seramai 33 pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda (SMKBBU) di sini mendakwa mengalami penderaan fizikal dan dilayan seperti banduan semasa menjalani program motivasi di Penjara Kluang hujung minggu lalu.

Ketika program selama tiga hari dua malam bermula Jumaat lalu itu, mereka mendakwa diarah oleh warden penjara memakai pakaian banduan selain digari, ditampar, dipukul dan ditumbuk di perut hingga ada pelajar menangis.

Seorang peserta, Mohd. Rafsanjani Mohd. Rafi, 16, mendakwa, pihak sekolah memaklumkan bahawa program tersebut adalah untuk para pelajar yang mempunyai masalah disiplin.

"Apabila tiba di penjara, kami diminta menyerahkan barangan peribadi dan rambut kami dipotong sehingga pendek sebelum dibawa ke asrama.

"Keesokan harinya, ketika lawatan di penjara, saya terkejut apabila dimarahi dan dicekik oleh warden penjara," dakwanya di sini semalam.

Katanya, dia dipilih mengikuti program berkenaan kerana ponteng sekolah selama 10 hari tahun ini.

Rakannya, Syed Amirul Khair Syed Khaidir, 16, pula mendakwa, para pelajar didera melakukan pelbagai aktiviti memeritkan seperti tekan tubi, berguling atas jalan dan ketuk ketampi sebanyak 150 kali.

"Kami dilayan macam banduan dan saya sendiri ditumbuk di perut selain ditampar dua kali," dakwanya.

Dalam pada itu, ibu kepada Mohd. Rafsanjani, Wan Zuhidah Zainal, 41, berkata, pihak sekolah menghantar surat kepadanya tentang program itu tetapi tidak dinyatakan pengisiannya.

"Saya hanya mengetahui mereka dihantar ke penjara apabila bertanya guru di sekolah selepas curiga melihat pelajar dibawa menaiki bas Jabatan Penjara," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi Johor, Datuk Maulizan Bujang berkata, jika dakwaan itu benar, pihak sekolah perlu mengkaji semula pengisian program.

"Saya telah meminta Jabatan Pelajaran menyiasat dakwaan ini, begitu juga dengan pihak sekolah," katanya ketika dihubungi.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah itu, Datuk Samsol Bari Jamali mengakui pihaknya mengetahui pelajar terbabit perlu menjalani simulasi kehidupan di penjara malah sekolah itu adalah yang ketiga mengikuti program sama.

Beliau berkata, pihak pentadbiran sekolah akan bersemuka dengan pelajar terbabit apabila sekolah dibuka esok.

Ketua Pemuda UMNO Johor Bahru, Khalid Mohamed yang menerima aduan terbabit berkata, satu memorandum yang ditandatangani ibu bapa peserta akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran.




1 comment:

Elih Japahar said...

Bisul merbahaya juga kalau tidak dirawat awal kan..budak samseng kat sekolah patut kena mcm ni lah baru sedar sikit..!