Photobucket

Monday, July 11, 2011

Klik2 hari ini

Siti Nurhaliza mahu sambung belajar muzik di UiTM


SITI NURHALIZA ketika membuat persembahan di UITM, Shah Alam kelmarin.


SHAH ALAM – Penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin bakal mengikuti pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini tidak lama lagi.

Meskipun mengambil keputusan meneruskan kerjaya sebagai penyanyi selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Siti Nurhaliza berkata, cita-cita melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi tidak pernah padam sejak lebih sepuluh tahun lepas.

Bidang muzik menjadi pilihan memandangkan ia seiring dengan kerjayanya sebagai penyanyi dan beliau percaya UiTM merupakan tempat terbaik untuk menggenggam sekurang-kurangnya segulung diploma dalam bidang berkenaan.

“Siti sedang berbincang dengan pihak UiTM dan jika semuanya berjalan lancar, Siti akan meneruskan pengajian seperti yang dirancang,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan persembahan pada Malam Gala dan Karnival SimplySiti.

Di UiTM kursus muzik ditawarkan pada peringkat diploma dan ijazah sarjana muda di bawah Fakulti Muzik. Pada peringkat diploma, kursus itu akan mengambil masa selama dua tahun setengah manakala tiga tahun untuk peringkat ijazah sarjana muda.

Perkara itu turut disahkan Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr. Sahol Hamid Abu Bakar pada sidang akhbar berkenaan.

Sahol Hamid berkata, UiTM sedang berbincang mengenai perkara itu dan sedia menerima Siti Nurhaliza yang berhasrat menyambung pengajiannya.

Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.

Jari bayi rosak satu demi satu

Pemuda kecewa saman bekas tunang


NIK MUSTAFA (dua dari kiri) bersama peguamnya, Mohd. Ridzuan berbincang sesuatu di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Angkara cinta kekasihnya beralih arah seminggu sebelum tarikh bernikah, seorang juruteknik tekad memfailkan tuntutan ganti rugi sebanyak kira-kira RM320,000 terhadap bekas tunangnya itu di Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Nik Mustafa Nik Daud, 30, dari Kampung Jedok Tua, Tanah Merah dekat ini selaku plaintif memfailkan writ saman tersebut menerusi peguamnya, Mohd. Ridzuan Muhamad di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Nik Mustafa menamakan bekas tunangnya Azlina Mohamed, 27, yang juga dari kampung yang sama sebagai defendan.

Plaintif yang bertugas di sebuah kilang di Bangi, Selangor mendakwa ekoran tindakan bekas tunangnya yang bekerja sebagai penolong pengurus sebuah restoran makanan segera di Serdang itu menyebabkan pretasi kerjanya terjejas sehingga plaintif mendapat cuti sakit selama empat hari.

Mengikut pernyataan tuntutan, Nik Mustafa dan Azlina telah mengikat tali pertunangan pada 1 Mei 2011 atas dasar cinta suka sama suka.

Rentetan itu, plaintif dan defendan telah bersetuju untuk melangsungkan pernikahan pada 8 Jun lalu.

Berikutan itu, plaintif membuat semua persiapan kenduri seperti menyediakan perkakas kenduri, membeli seekor lembu, menempah ayam dan jurukamera.

Plaintif juga mendakwa telah menempah kad jemputan perkahwinan kepada 1,000 tetamu dan kenduri kahwin di rumah plaintif dijadual akan berlangsung pada 10 Jun.

Bagi melancarkan majlis perkahwinan, plaintif turut menghadiri kursus kahwin, membeli barangan hantaran, mengisi borang perkahwinan dan membeli dua bentuk cincin perkahwinan berharga RM3,000.

Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.


ISMAIL Lee memangku Nur Ayreen yang menderita kerosakan tisu jari.


MACHANG – Hati ibu bapa mana tidak luluh dan kecewa apabila jari tangan kiri anak kesayangan yang dilahirkan sempurna tiba-tiba mengalami kerosakan satu demi satu berpunca daripada kelalaian orang lain.

Bagi Ismail Lee Abdullah dan isterinya, Zuhariana Baharum, kedua-duanya, 30, masalah tersebut sangat merisaukan apatah lagi apabila memikirkan bahawa anak mereka akan membesar tidak seperti kanak-kanak lain.

Dakwa mereka, jari dan tangan kiri Nur Ayreen Imanie, 6 bulan, tiba-tiba menjadi hitam dan mengecut selepas tiga minggu anaknya itu menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu kerana mengalami masalah pernafasan pada Mac lalu.

Ismail berkata, pada mulanya tangan kiri anaknya berubah menjadi hitam dan kebiru-biruan dari paras siku hingga ke jari.

Beliau kemudian terus merujuk anaknya itu ke HRPZ II sekali lagi sebelum dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan selanjutnya.

Menurutnya, ketika di HRPZ II, doktor menjalankan ujian imbasan dan mengesahkan terdapat saluran darah tersumbat pada bahagian bekas suntikan.

Bayi itu kemudian diberikan ubat pencair darah bagi mengatasi masalah tersebut namun tidak berkesan.

Menurutnya, setakat ini tiga batang jari tangan kiri sudah tanggal dan hilang akibat masalah tersebut manakala dua lagi batang jari sedang menghadapi masalah yang sama.

Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.


No comments: